Wednesday, 22 October 2014

Khasiat Madu Sebagai Penawar Kesihatan Manusia



Pengambilan madu telah diamalkan oleh manusia sejak zaman berzaman. Ia telah digunakan oleh masyarakat dari pelbagai benua sebagai satu kaedah rawatan semulajadi yang berkesan. 

Madu juga telah disebutkan di dalam kitab suci Al-Quran di Surah An-Nahl ayat ke 69 sebagai penawar kepada manusia.

Terdapat 7 khasiat madu yang mungkin boleh meyakinkan anda untuk meletakkan madu sebagai satu menu dalam amalan pemakanan harian anda. Antaranya ialah :


1. Khasiat Madu Sebagai Pemberi Tenaga

Di samping rasanya yang manis dan sedap madu juga dikenali sebagai “penyuntik” tenaga semulajadi yang mampu mengelakkan kita daripada keletihan. Rahsia kelebihan madu ini adalah pada kandungan karbohidrat dan glukosa yang dapat membekalkan tenaga kepada kita. Maka tidak hairanlah ahli-ahli sukan secara amnya ataupun pelari marathon secara khususnya mengamalkan madu sebelum bersukan sebagai penambah tenaga semulajadi.

2. Khasiat Madu Membantu Proses Pencernaan

Kita sebagai rakyat Malaysia mewah dengan pilihan makanan yang pelbagai. Oleh itu tidak hairanlah ramai di antara kita yang mempunyai tabiat makan yang buruk yang mengganggu proses pencernaan. Madu merupakan salah satu alternatif berkesan yang dapat membantu kita dalam proses mencernakan makanan. Amalkan madu setiap hari bagi mendapat sistem pencernaan yang baik.

3. Khasiat Madu Sebagai Bahan Antioksida

Di dalam madu terdapat sifat-sifat antioksida yang baik untuk kita. Antioksida disini bermaksud bahan yang membuang agen pengoksidaan yang merbahaya di dalam tubuh manusia. Dengan mengamalkan madu sekurang-kurangnya satu sudu setiap hari anda telahpun membekalkan bahan antioksida yang bermanfaat untuk tubuh anda.

4. Khasiat Madu Sebagai Penggalak Bakteria Baik

Madu berupaya untuk menggalakkan bakteria baik didalam tubuh kita dan pada waktu yang sama mengurangkan jumlah banteria yang tidak baik. Ini penting bagi memastikan tubuh kita tidak terdedah dengan jangkitan. Madu boleh dikategorikan sebagai antibiotik semulajadi termanis didunia.

5. Khasiat Madu Sebagai Ubat Sakit Tekak

Jika anda mengalami sakit tekak yang berpanjangan anda digalakkan untuk mengambil madu sebagai rawatan alternatif dan semulajadi untuk memulihkan kesakitan anda. Minum sesudu besar madu setiap kali anda mengalami sakit tekak dan ulangi bila perlu, insyaAllah masalah sakit tekak anda akan berunsur pulih.

6. Khasiat Madu Sebagai Perawat Kulit

Fungsi madu yang mengandungi bahan antibiotik yang membunuh kuman sesuai untuk digunakan pada wajah sebagai masker. Ia berkesan untuk memulihkan jerawat, membunuh bakteria dan dalam pada masa yang sama melembapkan kulit. Anda juga boleh menggunakannya pada kulit yang terluka bagi menghalang jangkitan bakteria.

7. Khasiat Madu Bagi Membantu Anda Tidur

Bagi anda yang sukar tidur anda boleh mengamalkan meminum madu yang dicampur bersama susu panas beberapa minit sebelum tidur. Kandungan asid amino, vitamin dan mineral bertindak sebagai bahan penenang semulajadi yang membantu anda tidur dengan lebih lena. Amalkan meminum madu sebelum tidur bagi mendapatkan tidur yang lebih berkualiti.

Saturday, 11 October 2014

Pendidikan Islam di Madinah

Perpindahan Rasulullah SAW ke Madinah pada tahun 622 Masihi, membawa perubahan dan pengertian yang besar terhadap penyibaran dan kestabilan agama Islam. Kurikulum pendidikan peringkat ini bertukar kepada memenuhi tuntutan perundangan dan perhubungan antarabangsa.  Institusi pendidikan Islam memilih masjid sebagai tempat menyampai ilmu, sistem halaqah bermula di Masjid dan dilaksanakan oleh Rasulullah SAW. Fungsi masjid mengikut termenologi Islam adalah sebagai markas bagi segala aktiviti agama dan masyarakat, khususnya dalam hal-hal yang berhubung dengan aktiviti ibadat, pelajaran dan pendidikan. 

Al-Abrasyi menyatakan Rasulullah SAW menjadikan masjid Nabawi sebagai tempat belajar mengenai urusan dunia dan agama disamping beribadat. Situasi masjid lebih bebas dan sesuai sebagai tempat belajar. Rasulullah SAW telah mendirikan sebuah surau yang bersambung dengan masjid tersebut, dikenali sebagai al-suffah. Merupakan sebagai sebuah sekolah yang membimbing pelajarnya dengan lebih sistematik. Mata pelajarannya termasuklah al-Quran. Asas agama (Aqidah, syariah, akhlak) khat, sejarah, bahasa. Kurikulum yang diberi merangkumi pendidikan rohani dan jasmani yang menjadi keperluan kepada individu dan masyarakat.

Struktur pendidikan Islam telah disusun oleh Rasulullah SAW dalam beberapa bentuk :

i. Pendidikan Umum : Di jalankan oleh Rasulullah SAW atau para sahabat daripada Khulafa al- Rashidin. Perlaksanaannya dilakukan dengan penyampaian pidato selepas sembahyang fardu atau selepas sembahyang jumaat. Kurikulum nya merangkumi bidang aqidah, syariat, muamalat dan lain-lain. Bidang lain seperti menunggang kuda, bermain pedang, berenang, bergusti dan lumba lari. 

ii.         ii. Pendidikan Khusus : Pengajaran yang berbentuk khusus ialah pengajaran yang diberikan oleh baginda kepada orang-orang yang tertentu tanpa mengira tempat atau masa. Sahabat-sahabat baginda seperti Ali bin Abi Talib, Abu Bakar as-Siddiq, Abu Hurairah dan lain-lain adalah di antara orang yang sering mendapat pendidikan khusus berupa tunjuk ajar secara langsung.

iii.        iii. Pendidikan Institusi : Merupakan intisari Pendidikan Islam pada peringkat Madinah. Pendidikan bentuk ini banyak melahirkan cendiakawan Islam pada masa selanjutnya.

Sejarah Perkembangan Pendidikan Islam Zaman Rasulullah SAW

Pendidikan Islam pada zaman Rasulullah SAW memperlihatkan tahap-tahap kemajuan, pemikiran yang berubah sikap, pandangan hidup dan perlakuan manusia. Pendidikan tersebut memperlihatkan satu garis pemisah antara natijah pendidikan Islam yang berteraskan tauhid dengan pendidikan jahiliah arab yang berasaskan pemikiran logik dan matlamat keduniaan semata-mata. Pendidikan yang berlangsung pada zaman Rasulullah SAW adalah berkisar di sekitar pembentukan individu mukmin dalam rangka pembentukan masyarakat Islam dan bukan seperti pemikiran pendidikan yang berlangsung dalam falsafah pendidikan moden yang ada sekarang.

Ibn Khaldun meriwayatkan sebelum kedatangan Islam penduduk Semananjung Tanah Arab adalah buta huruf, hanya sebilangan kecil sahaja di antara mereka yang tahu membaca dan menulis.  Menurutnya orang yang belajar menulis di Hirah ialah Sufyan bin Umaiyyah dan mempelajarinya dari Aslam bin Sidrah,  Menurut sejarah orang yang mula-mula mengajar menulis dan membaca sebagai satu mata pencarian di Tanah Arab ialah seorang yang berasal dari Wadi al-Qura. Ia telah berusaha memberi pelajaran kepada beberapa orang penduduk negeri itu. Semenjak dari itulah tersebarnya kemahiran tulis menulis dan membaca di Semananjung Tanah Arab, bagaimanapun proses perkembangan tersebut berlaku secara lambat, sehinggalah kedatangan Islam.

Kedatangan agama Islam membawa perubahan besar terhadap bidang ilmu pengetahuan dan pendidikan terutama mengenai pelajaran tulis menulis dan membaca. Situasi demikian adalah menurut inspirasi al-Quran sebagai wahyu Allah yang mula-mula kepada RasulNya. Perintah membaca seperti dalam wahyu pertama   اقراء perintah Allah supaya menulis dan membaca adalah untuk melepaskan diri mereka daripada kongkongan kejahilan dan kemunduran dalam semua bentuk kehidupan.  Menerusi pembacaan atau pemilikan ilmu manusia dapat melibatkan diri dengan pelbagai proses kemajuan dan kematangan seperti proses pengenalan (cognition) ingatan (memory) pengamatan (perception) pengucapan (verbalization) pemikiran (reasoning) daya kreatif (creatibity) dan sebagainya untuk mencapai kesempurnaan dan kebahagiaan.

Pembacaan juga dapat menyingkap tabir kejahilan, yang sentiasa menghalang manusia bagi mengenal Tuhan yang sebenar. Dengan membaca manusia sudah didorong kepada rasa ingin tahu atau ingin memahami hakikat kejadian yang sebenar. Berkeyakinan terhadap Tuhan yang Maha Esa Pencipta Alam, dapat mengenali dan menginsafi diri sendiri. Menerusi pembacaan atau berilmu merupakan alat yang unik bagi mencapai tahap iman yang sebenar yang boleh mendorong kepada melaksanakan tanggungjawab untuk mencapai kebahagian hakiki di dunia dan di akhirat. 

Bagi menyelaras dan memantapkan penyebaran Islam yang berasaskan aqidah, syariah dan akhlak Rasulullah SAW dipertanggungjawab untuk menyampaikan ilmu pengetahuan dan pendidikan Islam kepada umatnya. Baginda bertanggungjawab menyampaikan ilmu pengetahuan dan pendidikan Islam kepada umatnya. Sebagai langkah pertama baginda memperkenalkan pembacaan al-Quran dan asas-asas di samping pelajaran tulis menulis dan membaca sebagai alat utama bagi mencapai ilmu pengetahuan. Al-Quran sebagai sumber pertama dikuatkan lagi dengan penafsiran yang dilakukan sendiri oleh baginda Rasulullah SAW yang berupa percakapan, perbuatan dan pengakuan. 

Tahap pendidikan di peringkat awal kebangkitan berlaku semasa di Mekah bermula dengan pengajaran al-Quran khusus kepada kaum keluarga baginda. Hasil daripada usaha ini Khadijah binti Khuwailid, Ali bin Abi Talib dan Zaid bin Harithah telah memeluk agama Islam dan meyakini ketauhidan Allah. Di kalangan sahabat baginda yang menerima terus pengajaran daripada baginda Rasulullah SAW ialah Saidina Abu Bakar al-Siddiq. Melalui perantaraan Abu Bakar, Islam mula berkembang dengan penerimaan aqidah tauhid oleh Uthman bin Affan, Zubair bin al-Awwam, saad bin Abi Waqqas, Abdul Rahman bin Auf, Talhah bin Ubaidullah, Abu Ubaidah bin Jarrah, Arqam bin Abi al-Arqam, Fatimah binti al-Khattab, Said bin Zaid al-Adawi dan lain-lain. Pertambahan penganut Islam telah mewujudkan suatu bentuk pendidikan yang mula tersusun. Rumah baginda menjadi pusat pendidikan pertama dan selepas itu rumah Arqam bin Abi Arqam.  Rasulullah menyampaikan setiap wahyu yang diterimanya kepada para sahabat dan kaum muslimin tanpa disembunyikan, seperti firman Allah SWT;.

“Wahai rasul, sampaikanlah apa-apa yang telah diturunkan oleh Allah kepada engkau daripada Tuhan engkau, kiranya engkau tidak melakukan demikian, maka tidaklah engkau menyampaikan risalahNya”.
( al-Maidah :67)

Strategi pembelajaran yang dilakukan ketika itu dengan mendengar kuliah daripada Rasulullah SAW sendiri secara talaqqi dan musyafahah. Pembelajaran berlaku secara hafazan iatu menghafaz ayat-ayat al-Quran yang dibacakan dan melalui tunjuk cara. Seterusnya baginda menyuruh umat Islam atau para sahabat mempraktik, mengamal dan menghayati isi pelajaran tersebut. Sebagai seorang rasul dan guru telah mendidik, melatih dan memandu pengikut-pengikutnya dengan penuh mesra dan perasaan kasih sayang. Beliau mendidik dan memandu mereka bukan sahaja dari segi pengetahuan (kognitif) malah dari segi sikap, peribadi dan tingkahlaku dengan memperlihatkan contoh-contoh dan tauladan yang dilakukannya sendiri.

Selepas turun surah al-Hijr (rujuk ayat 94);

Ayat tersebut memerintahkan Rasulullah SAW menyebarkan Islam secara terang-terangan, bermula dari sini pendidikan Islam dilakukan secara umum kepada seluruh lapisan masyarakat. Pusat pendidikan Islam terbuka luas meliputi lorong-lorong, pasar, kawasan perumahan dan di sekitar Kaabah. Kurikulum pendidikan pada tahap ini lebih tertumpu kepada pembentukan aqidah tauhid, kerana itu isi pelajaran yang disampai oleh baginda tertumpu kepada penolakan adat istidat, kepercayaan dan cara beribadat kaum jahiliah yang mensyirikkan Allah SWT. Pada tahap ini juga perkembangan pendidikan Islam tersebar ke Habsyah, Jaafar bin Abi talib menerangkan kepada Raja Habsyah iaitu Najasyi berkaitan dengan Islam dan membaca al-Quran di hadapannya.   

5 Peperangan Besar Dalam Sejarah Islam




1. Perang Badar

Pertempuran Badar adalah pertempuran besar pertama antara umat Islam melawan musuh-musuhnya. Perang ini terjadi pada 17
 Mac 624 Masehi atau 17 Ramadan 2 Hijriah. Pasukan kecil kaum Muslim yang berjumlah 313 orang bertempur menghadapi pasukan Quraisy dari Mekkah yang berjumlah 1,000 orang. Setelah bertempur habis-habisan sekitar dua jam, pasukan Muslim menghancurkan barisan pertahanan pasukan Quraisy, yang kemudian berundur dalam kekacauan.

Bagi kaum Muslimin terawal, pertempuran ini sangatlah bererti kerana merupakan bukti pertama bahawa mereka sesungguhnya berpeluang untuk mengalahkan musuh mereka di Mekkah. Mekkah ketika itu merupakan salah satu kota terkaya dan terkuat di Semenanjung Arab di zaman jahiliyah. Kemenangan kaum Muslim juga memperlihatkan kepada suku-suku Arab lainnya bahawa suatu kekuatan baru telah bangkit di Semenanjung Arabi, serta memperkukuhkan kedudukan Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin terhadap berbagai golongan masyarakat
 Madinah yang sebelumnya sering ditindas. Berbagai suku Arab mulai memeluk agama Islam dan membangunkan persekutuan dengan kaum Muslim di Madinah; dengan demikian, penyebaran agama Islam pun dipertingkatkan.

2. Perang Uhud

Perang Uhud adalah pertempuran yang meletus antara kaum muslimin dan kaum kafir Quraisy pada tanggal 22 Mac 625 M (7 Syawal 3 H). Pertempuran ini terjadi kurang lebih setahun setelah Pertempuran Badar. Tentara Islam berjumlah 700 orang sedangkan tentara kafir berjumlah 3,000 orang. Tentara Islam dipimpin sendiri oleh Rasulullah SAW sedangkan tentara kafir dipimpin oleh Abu Sufyan. Disebut Perang Uhud kerana terjadi di dekat bukit Uhud yang terletak 4 batu dari Masjid Nabawi dan mempunyai ketinggian 1000 kaki dari permukaan tanah dengan panjang 5 batu.

Semasa keadaan sedang genting itu, Abdullah bin Ubay, seorang munafiq, telah melakukan khianat dengan memujuk kaum muslimin untuk kembali ke Madinah. Sepertiga pasukan, atau sekitar tiga ratus orang akhirnya berundur. Abdullah bin Ubay mengatakan, “Kami tidak tahu, mengapa kami membunuh diri kami sendiri?” Setelah berundurnya tiga ratus orang tersebut, Rasulullah SAW melakukan menyusun semula kekuatan dengan sisa pasukan yang jumlahnya sekitar tujuh ratus pejuang untuk meneruskan perang. Allah SWT memberi mereka kemenangan, meskipun pada awalnya dalam kucar kacir.

3. Perang Mu’tah

Perang Mu’tah terjadi pada 629 M atau 5 Jumadil Awal 8 Hijriah, dekat kampung yang bernama Mu’tah, di sebelah timur Sungai Jordan dan Al Karak, antara pasukan Khulafaur Rasyidin yang dihantar oleh Nabi Muhammad SAW dan tentara Kerajaan Romawi Timur (Bashra).

Perang Mu’tah merupakan pendahuluan dan jalan pembuka untuk menaklukkan negeri-negeri Nasrani. Punca perang Mu’tah adalah pembunuhan utusan Rasulullah SAW bernama al-Harits bin Umair yang diperintahkan menyampaikan surat kepada pemimpin Bashra. Al-Harits ditahan oleh Syurahbil bin Amr, seorang gabenor wilayah Balqa di Syam, ditangkap dan dipenggal lehernya. Untuk menghadapi perang ini, Rasulullah SAW mempersiapkan pasukan berkekuatan tiga ribu orang pejuang. Inilah pasukan Islam terbesar pada waktu itu.

Mereka bergerak ke arah utara dan beristirahat di Mu’an. Ketika itulah mereka memperoleh maklumat bahawa Heraklius telah berada di salah satu bahagian wilayah Balqa dengan kekuatan sekitar seratus ribu tentera Romawi. Mereka bahkan mendapat bantuan dari pasukan Lakhm, Judzam, Balqin dan Bahra kurang lebih seratus ribu orang tentera. Jadi jumlah kekuatan mereka adalah dua ratus ribu orang tentera.

4. Perang Ahzab/Perang Khandak

Dua puluh pemimpin Yahudi bani Nadhir datang ke Makkah untuk melakukan provokasi agar kaum kafir bersatu untuk menumpas kaum muslimin. Pemimpin Yahudi bani Nadhir juga mendatangi Bani Ghathafan dan mengajak mereka untuk melakukan apa yang mereka serukan pada orang Quraisy. Selanjutnya mereka mendatangi kabilah-kabilah Arab di sekitar Makkah untuk melakukan hal yang sama. Semua kelompok itu akhirnya sepakat untuk bergabung dan menghapuskan kaum muslimin di Madinah sampai ke akar umbi.
 

Jumlah keseluruhan pasukan Ahzab (sekutu) adalah sekitar sepuluh ribu orang tentera. Jumlah itu disebutkan dalam kitab sirah adalah lebih banyak berbanding jumlah orang-orang yang tinggal di Madinah secara keseluruhan, termasuk wanita, anak-anak, pemuda dan orang tua. Menghadapi kekuatan yang sangat besar ini, atas idea Salman al-Farisi, kaum muslimin menggunakan strategi penggalian parit untuk menghalangi sampainya pasukan musuh ke wilayah Madinah.

5. Perang Tabuk

Perang Tabuk atau juga Ekspedisi Tabuk, adalah ekspedisi yang dilakukan umat Islam pimpinan Nabi Muhammad SAW pada 630 M atau 9 H, ke Tabuk, yang sekarang terletak di wilayah Arab Saudi di bahagian barat laut. Rom memiliki kekuatan tentera paling besar pada ketika itu. Perang Tabuk merupakan lanjutan dari perang Mu’tah. Kaum muslimin mendengar persiapan besar-besaran yang dilakukan oleh pasukan Rom dan raja Ghassan. Maklumat tentang jumlah pasukan yang dihimpun adalah sekitar empat puluh ribu orang. Keadaan semakin kritikal, kerana musim kemarau. Kaum muslimin tengah berada di tengah kesulitan dan kekurangan bekalan.

Untuk melindungi umat Islam di Madinah, Nabi Muhammad SAW memutuskan untuk melakukan strategi pertahanan, dan menyiapkan pasukan. Hal ini disulitkan lahi dengan berlakunya kebuluran di tanah Arab dan kurangnya bilangan umat Muslimin. Namun, Nabi Muhammad SAW berhasil mengumpulkan pasukan yang terdiri dari 30,000 orang, jumlah pasukan terbanyak yang pernah dimiliki umat Islam.

Setelah sampai di Tabuk, umat Islam tidak menemui pasukan tentera Bizantium ataupun sekutunya. Menurut sumber-sumber Muslim, mereka melarikan diri ke utara setelah mendengar kedatangannya pasukan Nabi Muhammad SAW. Pasukan Muslimin berada di Tabuk selama 10 hari. Ekspedisi ini dimanfaatkan Muhammad untuk mengunjungi kabilah-kabilah yang ada di sekitar Tabuk. Hasilnya, banyak kabilah Arab yang sejak mula lagi tidak mematuhi Kekaisaran Bizantium, dan berpihak kepada Nabi Muhammad SAW dan umat Islam.

Ketika hendak pulang dari Tabuk, rombongan Nabi Muhammad SAW telah didatangi oleh para pendeta Kristian di Lembah Sinai. Nabi Muhammad SAW berbincang dengan mereka, dan terjadi perjanjian yang mirip dengan Piagam Madinah bagi kaum Yahudi. Piagam ini mengandungi perdamaian antara umat Islam dan penganut Kristian di daerah tersebut.
 


Nabi Muhammad SAW akhirnya kembali ke Madinah setelah 30 hari berada di Tabuk. Umat Islam mahu pun Kekaisaran Bizantium tidak mengalami sebarang korban dari peristiwa ini, kerana tidak terjadinya sebarang pertempuran dalam perang tersebut.

Pendidikan Maya

Pendidikan maya telah menjadi semakin popular pada masa kini. Ini selaras dengan arus pembangunan industri teknologi maklumat yang semakin berkembang. Agenda IT Kebangsaan (National IT Agenda, NITA) yang telah dilancarkan pada tahun 1996 menggariskan beberapa panduan bagaimana Malaysia boleh muncul sebagai sebuah negara maju. Salah satu agenda awal adalah mewujudkan pendidikan maya. Pendidikan ini telah diperluas dengan pengenalan konsep pembelajaran Sekolah Bestari, E-learning, Universiti terbuka dan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH). Pendidikan maya telah dikenal pasti mempunyai banyak kepentingan pada masa hadapan.

Pada zaman ledakan teknologi maklumat dan komunikasi, setiap individu semakin bersaing untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kerjaya masing-masing. Nabi Muhammad s.a.w bersabda “Tuntutlah ilmu walau di negara China sekalipun”. Walau sukar sekalipun, seseorang itu digalakkan mencari ilmu. Ilmu mampu meningkatkan martabat seseorang. Pada masa kini, ilmu mudah diperoleh melalui ruang siber. Ilmu dunia tanpa sempadan memberi banyak kelebihan kepada kita. Seseorang itu boleh menjelajah ilmu pengetahuan ke seluruh pelosok negara melalui pendidikan maya atau virtual.

Seterusnya, pendidikan maya dikenal pasti dapat meningkatkan kemahiran seseorang dalam bidang ICT. Kemahiran dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi telah menjadi satu kemestian pada masa hadapan. Setiap individu perlu menguasai ilmu tersebut kerana ianya telah menjadi salah satu agenda utama negara. Kerajaan telah memberi penekanan dalam bidang tersebut dengan memperkenalkan penggunaan ICT dalam sistem pendidikan negara.Guru dan pelajar telah didedahkan dengan lebih awal dalam bidang ICT. Merekalah yang akan memastikan kejayaan sistem tersebut. Jatuh bangun sebuah negara banyak bergantung kepada mereka.

Pengenalan ICT dalam sistem pendidikan maya secara tidak langsung meningkatkan penguasaan pelajar dalam bahasa Inggeris. Ini selaras dengan dasar penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik di sekolah-sekolah Malaysia. Dasar tersebut mensasarkan pelajar dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik kerana ilmu dunia banyak diperoleh dalam bahasa Inggeris. Pendedahan penggunaan bahasa Inggeris di peringkat sekolah rendah lagi boleh memberi banyak faedah kepada mereka. Pendidikan maya telah menyuntik semangat baru kepada pelajar untuk mendalami bahasa Inggeris. Penggunaan bahasa Inggeris dalam pendidikan maya mampu mengayakan perbendaharaan dan kosa kata bahasa Inggeris pelajar. Seterusnya meningkatkan kemahiran dan penguasaan mereka dalam bahasa tersebut. Pelajar yang menguasai bahasa Inggeris dengan baik dapat bersaing di peringkat antarabangsa. Mereka juga akan menjadi pilihan utama majikan untuk mengambil mereka bekerja.

Pendidikan maya yang menggunakan medium internet sebagai pengantara didapati lebih mesra pengguna. Ia dapat diintergrasikan dengan penggunaan grafik, teks dan kemudahan audio visual kepada pengguna. Penggunaan perisian grafik dalam pendidikan maya boleh menarik minat pelajar. Kajian yang dibuat oleh Rio Sunarji Sharifuddin (1997) mendapati pembelajaran menggunakan kaedah perayauan (exploratory) dan penemuan (enkuiri) lebih berjaya berbanding kaedah tradisional. Pelajar lebih menyukai jika mereka diberi kebebasan dalam pencarian maklumat pembelajaran. Konsep ilmu melalui kaedah penerokaan perlu ditingkatkan.

Pendidikan maya juga boleh mengembangkan daya kreativiti seseorang. Individu yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang komputer boleh mencipta perisian, CD-ROM dan laman web sendiri. Inovasi baru dalam penciptaan perisian, CD-ROM dan laman memberi banyak kebaikan kepada seseorang. Pada masa kini, terdapat banyak pakar dalam bidang pembangunan perisian, pengaturcaraan komputer, perkakasan komputer dan sebagainya. Ini dapat dilihat dengan wujudnya banyak perisian, CD-ROM dan laman web baru . Perkembangan tersebut dilihat seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Pada setiap saat sahaja, banyak perisian baru telah dicipta. Peluang yang ada perlu direbut kerana boleh mendatangkan pendapatan yang lumayan kepada seseorang.

Kesimpulannya, pendidikan maya mempunyai banyak kepentingannya. Pendidikan ini mempunyai potensi besar pada masa hadapan. Sifatnya yang terbuka memberi ruang dan peluang kepada individu untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam semua bidang. Langkah-langkah segera perlu diambil oleh kerajaan untuk memajukan sistem pendidikan maya. Kerjasama yang dibuat dengan IPTA, Universiti terbuka dan IPTS lain dikenal pasti sebagai langkah terbaik untuk merealisasikan impian tersebut . Diharapkan pada masa hadapan Malaysia akan muncul sebagai hub pendidikan bertaraf dunia. Ini sejajar dengan Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3) 2001 – 2010 dan Dasar Wawasan Negara (DWN) bagi menghadapi cabaran globalisasi, liberalisasi ekonomi dan persekitaran berasaskan pengetahuan.

Wednesday, 24 September 2014

Pendidikan Alaf Ini

Dalam era globalisasi ini, penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang memang penting dan perlu diberikan perhatian utama. Hal ini demikian kerana, tuntutan zaman telah membuktikan ilmu atau pengetahuan akan menjamin kejayaan seseorang itu jika digunakan dengan bijaksana. Oleh itu, semua orang hendaklah berusaha untuk mencari seberapa banyak ilmu yang mungkin untuk kesejahteraan hidup seperti kata-kata hikmat, “Ilmu pelita hidup”. Jadi, semua orang khususnya para remaja hendaklah menggunakan masa ketika muda ini untuk mencari ilmu sebanyak mana yang mungkin. Dengan adanya ilmu, sudah tentu seseorang itu akan mendapat manfaat yang banyak terutamanya dalam era globalisasi ini.

Dengan adanya ilmu, seseorang itu boleh mencipta inovasi baru dalam pelbagai bidang kehidupan manusia hari ini. Ciptaan baharu yang berupa inovasi itu akan memberikan kemudahan kepada kehidupan seharian manusia. Sebagai buktinya, banyak inovasi  baharu yang dicipta pada masa ini, contohnya telefon bimbit, komputer riba dan pelbagai alat canggih yang lain. Hal ini sudah tentu memerlukan ilmu dan kemahiran yang tinggi  dalam teknologi.Jadi, pada masa akan datang sudah pasti budaya yang mementingkan ilmu  dalam pelbagai bidang akan menguasai budaya masyarakat.

Ilmu yang dimiliki juga membolehkan kita menguasai bidang perniagaan yang semakin kompleks dan bercorak global. Perkara ini demikian kerana, dalam era globallisasi, k-ekonomi merupakan trend baru dalam perniagaan. Jadi, ekonomi yang berasaskan pengetahuan sudah menguasai dunia perniagaan pada masa ini. Oleh itu, jika seseorang tidak dapat mengikut arus k-ekonomi ini, sudah pasti orang itu akan ketinggalan zaman iaitu, seperti katak di bawah tempurung dan pastinya akan gagal untuk memajukan diri dalam bidang perniagaan pada masa ini.

Jika seseorang itu menguasai ilmu sudah pastilah dia akan dapat memajukan diri dan negaranya sendiri. Hal ini demikian kerana, negara kita memerlukan pemimpin yang berilmu pengetahuan tinggi selaras dengan era globalisasi pada masa ini. Seseorang pemimpin yang berilmu akan membawa perubahan yang positif untuk kemajuan rakyat dan negara. Jika pemimpin tidak dapat menguasai ilmu, sudah pastilah negara kita akan tertinggal di belakang negara-negara maju yang lain. Jadi, seperti kata pepatah, “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”, para pemimpin juga perlu menguasai pelbagai ilmu terutamanya ilmu teknologi maklumat dan komunikasi.

Sekiranya rakyat negara ini dapat menguasai ilmu, sudah pasti hal ini akan melahirkan masyarakat yang proaktif. Perkara ini demikian kerana, masyarakat yang berilmu sentiasa berfikir secara positif atau optimis tentang sesuatu masalah dan tidak berfikir secara pesimis dan mudah pula berputus asa. Sebagai contohnya, seseorang yang berfikir secara positif sudah tentu akan menjadikan masalah itu sebagai cabaran dan bukannya halangan untuk mencapai objekifnya. Oleh itu, kita hendaklah mengamalkan budaya yang sentiasa dahaga akan ilmu dan menjadikan budaya pembelajaran sepanjang hayat atau “life long learning” sebagai amalan dalam kehidupan.

Oleh hal yang demikian, ungkapan orang yang menguasai ilmu akan menguasai dunia perlulah diberikan perhatian oleh semua orang. Dengan berdasarkan ungkapan itu, janganlah kita suka membuang masa kerana masa itu emas dan masa tidak akan menunggu kita. Sekiranya kita lalai dan tidak menggunakan masa dengan bijaksana, sudah tentu kita akan termasuk dalam golongan yang berada dalam kerugian. Jadi, gunakanlah masa yang ada untuk menuntut ilmu dalam pelbagai bidang, terutamanya bidang teknologi maklumat yang sentiasa berubah hampir setiap hari.

Globalisasi dan Cabaran Pendidikan

Mengikut Prof Michael Gibbons (2003),Setiausaha Agong Persatuan Universisti Komonwel (ACU), globalisasi pendidikan ialah proses perubahan untuk amalan dan pelaksanaan pengajaran yang berkualiti.Fungsi utama globalisasi pendidikan adalah menghasilkan sumber-sumber yang diperlukan untuk pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat. Ia merupakan proses berterusan untuk meningkatkan tahap kemahiran dan pengalaman individu.

Dalam hal ini, pelbagai langkah telah dilakukan untuk menghadapi cabaran globalisasi pendidikan ini antaranya, menubuhkan Multimedia Super Corridor (MSC) dan mengembangkan sekolah-sekolah bestari. Selain itu, mereformasikan kurikulum sekolah dengan melaksanakan pengajaran Sains Matematik dalam bahasa Inggeris atau dikenali sebagai PSMI dan penswastaan pendidikan tinggi dengan memberi peluang untuk penubuhan kolej dan universiti swasta dalam negeri.

Bagi menghadapi cabaran pendidikan, guru merupakan aset utama yang berperanan dalam menyahut segala cabaran pendidikan akan datang. Jadi, ciri-ciri guru dalam cabaran globalisasi pendidikan perlu dititikberatkan oleh semua guru. Guru perlulah mempunyai iltizam yang tinggi iaitu melibatkan diri secara bersungguh-sungguh serta penuh tanggungjawab dalam pelaksanaan tugas melahirkan modal insan kelas pertama. Seterusnya, dalam era globalisasi ini seseorang guru itu perlu berorientasikan maklumat, dengan kata lain bersungguh-sungguh mengejar maklumat baru yang berkaitan pendidikan serta isu-isu semasa. Aspek ini perlu diambil perhatian kerana ia amat berguna kepada pelajar.

Seseorang guru perlu berpandangan jauh dan mempunyai visi terutamnya dalam perkembangan pendidikan demi mencapai matlamat kecemerlangan pendidikan negara dalam alaf baru. Selain itu, guru juga perlu berpandangan positif iaitu memperlihatkan reformasi dan inovasi pendidikan serta perubahan kurikulumnya dalam perspektif yang positif yang boleh mendatangkan manfaat kepada diri, pelajar, masyarakat dan negara contohya peka kepada perubahan dalam setiap aspek, sedar tentang keperluan negara dan bersikap positif terhadap pembelajaran. Seseorang guru juga perlu berpengetahuan, fleksibel dan mudah menyesuaikan diri dalam reformasi, inovasi dan perubahan pendidikan dengan menguasai kemahiran belajar.

Salah satu nilai aspirasi dalam penerapan “Satu Malaysia” adalah budaya inovasi dan budaya ilmu. Oleh yang demikian, kesediaan rakyat Malaysia untuk mencuba perkara baru dan berinovasi dalam apa jua lapangan yang diceburi perlu dititikberatkan.Rakyat Malaysia perlu dikenali sebagai individu-individu yang mampu menjadi pemimpin dalam bidang masing-masing. Rakyat Melaysia perlu berani mencari penyelesaian baru dalam menangi masalah dan sentiasa bersedia untuk menjadi perintis.Seterusnya, negara Malaysia akan benar-benar maju dan berjaya apabila rakyatnya memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi.

Budaya ilmu yang diterapkan dalam nilai aspirasi cenderung untuk sentiasa memburu pengetahuan yang terkini dan kesediaan menimba ilmu sepanjang hayat. Justeru itu, globalisasi dan cabaran pendidikan amat bertepatan dengan konsep “Satu Malaysia” itu sendiri.Jadi untuk merealisasikan konsep “Satu Malaysia : Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”, rakyat Malaysia perlulah disediakan dengan kriteria globalisasi dan cabaran pendidikan kerana kemajuan dan pembangunan sesebuah negara bermula dari pendidikan.