Saturday, 11 October 2014

Sejarah Perkembangan Pendidikan Islam Zaman Rasulullah SAW

Pendidikan Islam pada zaman Rasulullah SAW memperlihatkan tahap-tahap kemajuan, pemikiran yang berubah sikap, pandangan hidup dan perlakuan manusia. Pendidikan tersebut memperlihatkan satu garis pemisah antara natijah pendidikan Islam yang berteraskan tauhid dengan pendidikan jahiliah arab yang berasaskan pemikiran logik dan matlamat keduniaan semata-mata. Pendidikan yang berlangsung pada zaman Rasulullah SAW adalah berkisar di sekitar pembentukan individu mukmin dalam rangka pembentukan masyarakat Islam dan bukan seperti pemikiran pendidikan yang berlangsung dalam falsafah pendidikan moden yang ada sekarang.

Ibn Khaldun meriwayatkan sebelum kedatangan Islam penduduk Semananjung Tanah Arab adalah buta huruf, hanya sebilangan kecil sahaja di antara mereka yang tahu membaca dan menulis.  Menurutnya orang yang belajar menulis di Hirah ialah Sufyan bin Umaiyyah dan mempelajarinya dari Aslam bin Sidrah,  Menurut sejarah orang yang mula-mula mengajar menulis dan membaca sebagai satu mata pencarian di Tanah Arab ialah seorang yang berasal dari Wadi al-Qura. Ia telah berusaha memberi pelajaran kepada beberapa orang penduduk negeri itu. Semenjak dari itulah tersebarnya kemahiran tulis menulis dan membaca di Semananjung Tanah Arab, bagaimanapun proses perkembangan tersebut berlaku secara lambat, sehinggalah kedatangan Islam.

Kedatangan agama Islam membawa perubahan besar terhadap bidang ilmu pengetahuan dan pendidikan terutama mengenai pelajaran tulis menulis dan membaca. Situasi demikian adalah menurut inspirasi al-Quran sebagai wahyu Allah yang mula-mula kepada RasulNya. Perintah membaca seperti dalam wahyu pertama   اقراء perintah Allah supaya menulis dan membaca adalah untuk melepaskan diri mereka daripada kongkongan kejahilan dan kemunduran dalam semua bentuk kehidupan.  Menerusi pembacaan atau pemilikan ilmu manusia dapat melibatkan diri dengan pelbagai proses kemajuan dan kematangan seperti proses pengenalan (cognition) ingatan (memory) pengamatan (perception) pengucapan (verbalization) pemikiran (reasoning) daya kreatif (creatibity) dan sebagainya untuk mencapai kesempurnaan dan kebahagiaan.

Pembacaan juga dapat menyingkap tabir kejahilan, yang sentiasa menghalang manusia bagi mengenal Tuhan yang sebenar. Dengan membaca manusia sudah didorong kepada rasa ingin tahu atau ingin memahami hakikat kejadian yang sebenar. Berkeyakinan terhadap Tuhan yang Maha Esa Pencipta Alam, dapat mengenali dan menginsafi diri sendiri. Menerusi pembacaan atau berilmu merupakan alat yang unik bagi mencapai tahap iman yang sebenar yang boleh mendorong kepada melaksanakan tanggungjawab untuk mencapai kebahagian hakiki di dunia dan di akhirat. 

Bagi menyelaras dan memantapkan penyebaran Islam yang berasaskan aqidah, syariah dan akhlak Rasulullah SAW dipertanggungjawab untuk menyampaikan ilmu pengetahuan dan pendidikan Islam kepada umatnya. Baginda bertanggungjawab menyampaikan ilmu pengetahuan dan pendidikan Islam kepada umatnya. Sebagai langkah pertama baginda memperkenalkan pembacaan al-Quran dan asas-asas di samping pelajaran tulis menulis dan membaca sebagai alat utama bagi mencapai ilmu pengetahuan. Al-Quran sebagai sumber pertama dikuatkan lagi dengan penafsiran yang dilakukan sendiri oleh baginda Rasulullah SAW yang berupa percakapan, perbuatan dan pengakuan. 

Tahap pendidikan di peringkat awal kebangkitan berlaku semasa di Mekah bermula dengan pengajaran al-Quran khusus kepada kaum keluarga baginda. Hasil daripada usaha ini Khadijah binti Khuwailid, Ali bin Abi Talib dan Zaid bin Harithah telah memeluk agama Islam dan meyakini ketauhidan Allah. Di kalangan sahabat baginda yang menerima terus pengajaran daripada baginda Rasulullah SAW ialah Saidina Abu Bakar al-Siddiq. Melalui perantaraan Abu Bakar, Islam mula berkembang dengan penerimaan aqidah tauhid oleh Uthman bin Affan, Zubair bin al-Awwam, saad bin Abi Waqqas, Abdul Rahman bin Auf, Talhah bin Ubaidullah, Abu Ubaidah bin Jarrah, Arqam bin Abi al-Arqam, Fatimah binti al-Khattab, Said bin Zaid al-Adawi dan lain-lain. Pertambahan penganut Islam telah mewujudkan suatu bentuk pendidikan yang mula tersusun. Rumah baginda menjadi pusat pendidikan pertama dan selepas itu rumah Arqam bin Abi Arqam.  Rasulullah menyampaikan setiap wahyu yang diterimanya kepada para sahabat dan kaum muslimin tanpa disembunyikan, seperti firman Allah SWT;.

“Wahai rasul, sampaikanlah apa-apa yang telah diturunkan oleh Allah kepada engkau daripada Tuhan engkau, kiranya engkau tidak melakukan demikian, maka tidaklah engkau menyampaikan risalahNya”.
( al-Maidah :67)

Strategi pembelajaran yang dilakukan ketika itu dengan mendengar kuliah daripada Rasulullah SAW sendiri secara talaqqi dan musyafahah. Pembelajaran berlaku secara hafazan iatu menghafaz ayat-ayat al-Quran yang dibacakan dan melalui tunjuk cara. Seterusnya baginda menyuruh umat Islam atau para sahabat mempraktik, mengamal dan menghayati isi pelajaran tersebut. Sebagai seorang rasul dan guru telah mendidik, melatih dan memandu pengikut-pengikutnya dengan penuh mesra dan perasaan kasih sayang. Beliau mendidik dan memandu mereka bukan sahaja dari segi pengetahuan (kognitif) malah dari segi sikap, peribadi dan tingkahlaku dengan memperlihatkan contoh-contoh dan tauladan yang dilakukannya sendiri.

Selepas turun surah al-Hijr (rujuk ayat 94);

Ayat tersebut memerintahkan Rasulullah SAW menyebarkan Islam secara terang-terangan, bermula dari sini pendidikan Islam dilakukan secara umum kepada seluruh lapisan masyarakat. Pusat pendidikan Islam terbuka luas meliputi lorong-lorong, pasar, kawasan perumahan dan di sekitar Kaabah. Kurikulum pendidikan pada tahap ini lebih tertumpu kepada pembentukan aqidah tauhid, kerana itu isi pelajaran yang disampai oleh baginda tertumpu kepada penolakan adat istidat, kepercayaan dan cara beribadat kaum jahiliah yang mensyirikkan Allah SWT. Pada tahap ini juga perkembangan pendidikan Islam tersebar ke Habsyah, Jaafar bin Abi talib menerangkan kepada Raja Habsyah iaitu Najasyi berkaitan dengan Islam dan membaca al-Quran di hadapannya.   

No comments:

Post a Comment