Tuesday 2 September 2014

Kesantunan Masyarakat Melayu

Kesantunan bahasa dalam masyarakat Melayu yang menjadi penghuni teras di Kepulauan Melayu sejak dahulu lagi merupakan salah satu warisan yang penting dalam pembentukan keperibadian bangsa hingga kini.Antara aspek kebudayaan Melayu yang  menjadi asas kebudayaan kebangsaan negara ini ialah kesantunan bahasa yang menggambarkan kehalusan budi,pemikiran,falsafah,sistem nilai,sistem masyarakat dan   seluruh aspek kebudayaan itu sendiri.

Kesantunan juga merupakan pengukur diri seseorang untuk diterima atau sebaliknya dalam kehidupan sosial.Keindahan kehidupan masyarakat manusia yang sentiasa berusaha membina perlakuan yang memenuhi tuntutan sosial telah mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan kehidupan bersama dalam sesebuah masyarakat.Pemahaman terhadap variasi kesantunan dalam pelbagai bangsa turut mendorong ke arah pemupukan saling menghormati dan menghargai dalam kalangan manusia tanpa mempertikaikan perbezaan agama,bangsa dan budaya.

Terdapat banyak unsur yang menggambarkan wujudnya kesantunan bahasa dan ia telah dirakamkan dalam pelbagai karya persuratan seperti hikayat,syair,pantun,gurindam dan seloka.Demikian juga telah wujud adat istiadat dan pelbagai bentuk majlis dan upacara dalam kehidupan masyarakat Melayu sejak zaman-berzaman.Huraian dan dialog yang terdapat dalam pelbagai karya persuratan Melayu lama itu dengan jelas menggambarkan penggunaan bahasa yang santun dan beradab.

No comments:

Post a Comment