Wednesday, 24 September 2014

Pendidikan Alaf Ini

Dalam era globalisasi ini, penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang memang penting dan perlu diberikan perhatian utama. Hal ini demikian kerana, tuntutan zaman telah membuktikan ilmu atau pengetahuan akan menjamin kejayaan seseorang itu jika digunakan dengan bijaksana. Oleh itu, semua orang hendaklah berusaha untuk mencari seberapa banyak ilmu yang mungkin untuk kesejahteraan hidup seperti kata-kata hikmat, “Ilmu pelita hidup”. Jadi, semua orang khususnya para remaja hendaklah menggunakan masa ketika muda ini untuk mencari ilmu sebanyak mana yang mungkin. Dengan adanya ilmu, sudah tentu seseorang itu akan mendapat manfaat yang banyak terutamanya dalam era globalisasi ini.

Dengan adanya ilmu, seseorang itu boleh mencipta inovasi baru dalam pelbagai bidang kehidupan manusia hari ini. Ciptaan baharu yang berupa inovasi itu akan memberikan kemudahan kepada kehidupan seharian manusia. Sebagai buktinya, banyak inovasi  baharu yang dicipta pada masa ini, contohnya telefon bimbit, komputer riba dan pelbagai alat canggih yang lain. Hal ini sudah tentu memerlukan ilmu dan kemahiran yang tinggi  dalam teknologi.Jadi, pada masa akan datang sudah pasti budaya yang mementingkan ilmu  dalam pelbagai bidang akan menguasai budaya masyarakat.

Ilmu yang dimiliki juga membolehkan kita menguasai bidang perniagaan yang semakin kompleks dan bercorak global. Perkara ini demikian kerana, dalam era globallisasi, k-ekonomi merupakan trend baru dalam perniagaan. Jadi, ekonomi yang berasaskan pengetahuan sudah menguasai dunia perniagaan pada masa ini. Oleh itu, jika seseorang tidak dapat mengikut arus k-ekonomi ini, sudah pasti orang itu akan ketinggalan zaman iaitu, seperti katak di bawah tempurung dan pastinya akan gagal untuk memajukan diri dalam bidang perniagaan pada masa ini.

Jika seseorang itu menguasai ilmu sudah pastilah dia akan dapat memajukan diri dan negaranya sendiri. Hal ini demikian kerana, negara kita memerlukan pemimpin yang berilmu pengetahuan tinggi selaras dengan era globalisasi pada masa ini. Seseorang pemimpin yang berilmu akan membawa perubahan yang positif untuk kemajuan rakyat dan negara. Jika pemimpin tidak dapat menguasai ilmu, sudah pastilah negara kita akan tertinggal di belakang negara-negara maju yang lain. Jadi, seperti kata pepatah, “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”, para pemimpin juga perlu menguasai pelbagai ilmu terutamanya ilmu teknologi maklumat dan komunikasi.

Sekiranya rakyat negara ini dapat menguasai ilmu, sudah pasti hal ini akan melahirkan masyarakat yang proaktif. Perkara ini demikian kerana, masyarakat yang berilmu sentiasa berfikir secara positif atau optimis tentang sesuatu masalah dan tidak berfikir secara pesimis dan mudah pula berputus asa. Sebagai contohnya, seseorang yang berfikir secara positif sudah tentu akan menjadikan masalah itu sebagai cabaran dan bukannya halangan untuk mencapai objekifnya. Oleh itu, kita hendaklah mengamalkan budaya yang sentiasa dahaga akan ilmu dan menjadikan budaya pembelajaran sepanjang hayat atau “life long learning” sebagai amalan dalam kehidupan.

Oleh hal yang demikian, ungkapan orang yang menguasai ilmu akan menguasai dunia perlulah diberikan perhatian oleh semua orang. Dengan berdasarkan ungkapan itu, janganlah kita suka membuang masa kerana masa itu emas dan masa tidak akan menunggu kita. Sekiranya kita lalai dan tidak menggunakan masa dengan bijaksana, sudah tentu kita akan termasuk dalam golongan yang berada dalam kerugian. Jadi, gunakanlah masa yang ada untuk menuntut ilmu dalam pelbagai bidang, terutamanya bidang teknologi maklumat yang sentiasa berubah hampir setiap hari.

Globalisasi dan Cabaran Pendidikan

Mengikut Prof Michael Gibbons (2003),Setiausaha Agong Persatuan Universisti Komonwel (ACU), globalisasi pendidikan ialah proses perubahan untuk amalan dan pelaksanaan pengajaran yang berkualiti.Fungsi utama globalisasi pendidikan adalah menghasilkan sumber-sumber yang diperlukan untuk pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat. Ia merupakan proses berterusan untuk meningkatkan tahap kemahiran dan pengalaman individu.

Dalam hal ini, pelbagai langkah telah dilakukan untuk menghadapi cabaran globalisasi pendidikan ini antaranya, menubuhkan Multimedia Super Corridor (MSC) dan mengembangkan sekolah-sekolah bestari. Selain itu, mereformasikan kurikulum sekolah dengan melaksanakan pengajaran Sains Matematik dalam bahasa Inggeris atau dikenali sebagai PSMI dan penswastaan pendidikan tinggi dengan memberi peluang untuk penubuhan kolej dan universiti swasta dalam negeri.

Bagi menghadapi cabaran pendidikan, guru merupakan aset utama yang berperanan dalam menyahut segala cabaran pendidikan akan datang. Jadi, ciri-ciri guru dalam cabaran globalisasi pendidikan perlu dititikberatkan oleh semua guru. Guru perlulah mempunyai iltizam yang tinggi iaitu melibatkan diri secara bersungguh-sungguh serta penuh tanggungjawab dalam pelaksanaan tugas melahirkan modal insan kelas pertama. Seterusnya, dalam era globalisasi ini seseorang guru itu perlu berorientasikan maklumat, dengan kata lain bersungguh-sungguh mengejar maklumat baru yang berkaitan pendidikan serta isu-isu semasa. Aspek ini perlu diambil perhatian kerana ia amat berguna kepada pelajar.

Seseorang guru perlu berpandangan jauh dan mempunyai visi terutamnya dalam perkembangan pendidikan demi mencapai matlamat kecemerlangan pendidikan negara dalam alaf baru. Selain itu, guru juga perlu berpandangan positif iaitu memperlihatkan reformasi dan inovasi pendidikan serta perubahan kurikulumnya dalam perspektif yang positif yang boleh mendatangkan manfaat kepada diri, pelajar, masyarakat dan negara contohya peka kepada perubahan dalam setiap aspek, sedar tentang keperluan negara dan bersikap positif terhadap pembelajaran. Seseorang guru juga perlu berpengetahuan, fleksibel dan mudah menyesuaikan diri dalam reformasi, inovasi dan perubahan pendidikan dengan menguasai kemahiran belajar.

Salah satu nilai aspirasi dalam penerapan “Satu Malaysia” adalah budaya inovasi dan budaya ilmu. Oleh yang demikian, kesediaan rakyat Malaysia untuk mencuba perkara baru dan berinovasi dalam apa jua lapangan yang diceburi perlu dititikberatkan.Rakyat Malaysia perlu dikenali sebagai individu-individu yang mampu menjadi pemimpin dalam bidang masing-masing. Rakyat Melaysia perlu berani mencari penyelesaian baru dalam menangi masalah dan sentiasa bersedia untuk menjadi perintis.Seterusnya, negara Malaysia akan benar-benar maju dan berjaya apabila rakyatnya memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi.

Budaya ilmu yang diterapkan dalam nilai aspirasi cenderung untuk sentiasa memburu pengetahuan yang terkini dan kesediaan menimba ilmu sepanjang hayat. Justeru itu, globalisasi dan cabaran pendidikan amat bertepatan dengan konsep “Satu Malaysia” itu sendiri.Jadi untuk merealisasikan konsep “Satu Malaysia : Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”, rakyat Malaysia perlulah disediakan dengan kriteria globalisasi dan cabaran pendidikan kerana kemajuan dan pembangunan sesebuah negara bermula dari pendidikan.

Apakah Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran


Murid-murid Pendidikan Khas yang dikategorikan bermasalah pembelajaran ialah:
1. Autisme
2. Sindrom Down
3. Selebral Palsi
4. Dileksia
5. Hiperaktif (ADHD) / Hipoaktif
6. Lembam
7. Pintar cerdas
8. Terencat akal yang minima


Setiap murid-murid ini mempunyai potensi yang berbeza-beza. Teknik pengajaran dan pembelajaran yang pelbagai diterapkan mengikut tahap kebolehan murid. Tahap masalah murid-murid ini boleh dikategorikan kepada tiga bahagian iatu baik, sederhana dan lemah.
Bagi memenuhi keperluan individu proses pengajaran dan pembelajaran di Program Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran dibentuk secara fleksibel dan ini bertepatan dengan Peraturan-Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 1997,yang menyatakan
“ Guru -guru boleh mengubahsuai kaedah atau teknik pengajaran atau pembelajaran, masa bagi aktiviti dan susunan aktiviti, mata pelajaran dan bahan bantu mengajar bagi mencapai tujuan dan matlamat  Pendidikan Khas”.

Program Inklusif

Program Inklusif ialah Program Pendidikan Khas (bermasalah pembelajaran) yang menempatkan murid-murid yang berpotensi untuk mengikuti P&P di kelas normal. Pemilihan murid-murid adalah berdasarkan penilaian prestasi dan pencapaian mereka di kelas khas. Menerusi program ini, murid-murid khas berpeluang mengikuti mana-mana matapelajaran di kelas aliran perdana dengan bimbingan daripada guru matapelajaran tersebut dan seorang guru pendidikan khas.

KSSR

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) mula dilaksanakan pada 2011 secara berperingkat bermula dengan Tahun 1 di semua Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas dan sekolah rendah yang melaksanakan Program Pendidikan Khas Integrasi.

Pelaksanaan KSSR bagi Pendidikan Khas adalah seperti berikut:

Murid Pendidikan Khas (Masalah Pembelajaran)
Murid-murid ini mengikuti Kurikulum Altenatif yang digubal khusus berasaskan KSSR.

Murid Pendidikan Khas (Masalah Penglihatan)
Murid-murid ini mengikuti KSSR arus perdana dengan penambahan Kemahiran Asas Individu Masalah Penglihatan (KAIMAL). Kurikulum Pendidikan Jasmani dan Dunia Seni diubahsuai mengikut keperluan murid.

Murid Pendidikan Khas (Masalah Penglihatan)
Murid-murid ini mengikuti KSSR arus perdana dengan penambahan Bahasa Isyarat Komunikasu (BIK). Murid Tahun Pengukuhan pula mengikuti KSSR yang digubal khusus sebagai persediaan ke Tahun 1.

Monday, 8 September 2014

Pendidikan Khas Di Malaysia

Sejarah Pendidikan Khas

Pendidikan khas telah bermula di Malaysia sejak awal tahun 1920-an di kalangan sukarelawan yang membuka sekolah-sekolah untuk pelajar bermasalah atau kurang upaya penglihatan dan pendengaran.Di Malaysia,pendidikan khas formal bermula pada tahun 1948 dengan tertubuhnya Sekolah Rendah Pendidikan Khas Princess Elizabeth di Johor Bahru untuk kanak-kanak buta.Pada tahun 1954, Sekolah Persekutuan Kanak-Kanak Pekak di tubuhkan di Pulau Pinang untuk kanak-kanak pekak.

Program pemulihan ke atas pelajar “lembam” (lemah dalam menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira pada tahap umurnya) bermula pada tahun 1978. Manakala program untuk kanak-kanak ‘Bermasalah Pembelajaran’ baru bermula pada tahun 1988 apabila buat pertama kali Kementerian Pendidikan memulakan kelas perintis di Sekolah Kebangsaan Jalan Batu, Kuala Lumpur.Perkembangan pendidikan khas di Malaysia bertumpu kepada kumpulan kanak-kanak buta, pekak, dan bermasalah pembelajaran.

Peringkat Perkembangan Pendidikan Khas Di Malaysia

Peringkat Pertama (Awal 1947- Akhir 1947)

Pada peringkat permulaan, peranan utama dalam pendidikan khas dan pemulihan pelbagai kecacatan disumbangkan oleh institusi-institusi keluarga dan masyarakat terdiri daripada pertubuhan agama, etnik, ibu bapa dan badan sukarela bersifat tempatan dan antarabangsa.
Peringkat Kedua (1948- 1980)

Tahun 1948,memperlihatkan peranan dan penglibatan pihak kerajaan membuka dan menubuhkan beberapa sekolah khas seperti Sekolah Rendah Princess Elizabeth di Johor Bharu dan Sekolah Kanak- Kanak Pekak Persekutuan di Pulau Pinang (1954).
Peringkat Ketiga (1981- kini)

Pihak kerajaan merupakan penggerak utama dalam peringkat ketiga di mana perkhidmatan kemudahan fizikal, khidmat sokongan,peruntukan kewangan dan khidmat kepakaran disalurkan terus untuk pendidikan khas.



Saturday, 6 September 2014

Perkembangan Profesionalisme Keguruan Melalui Globalisasi

Dengan globalisasi yang semakin rancak menguasai dunia-dunia dalam pelbagai bidang seperti politik,sosial,pendidikan dan ekonomi,ia dilihat memberi kelebihan menerusi perkembangan profesionalisme keguruan dalam bidang pendidikan khasnya.Trdapat lima perkembangan yang jelas diperoleh menerusi globalisasi.

Perkembangan pertama ialah meluaskan peluang kepada guru dalam perkhidmatan dan guru dalam latihan dari aspek pendidikan guru dan peningkatan taraf profesionalisme.Perkara ini dapat dilihat menerusi adanya peluang melanjutkan pelajaran dalam bidang-bidang yang ditawarkan bagi memantapkan diri dengan ilmu dan kemahiran dalam sesuatu tempoh yang telah ditetapkan mampu meningkatkan lagi taraf profesionalisme keguruan.

Selain itu,perkembangan menerusi globalisasi turut meluaskan pengetahuan guru secara global.Seperti yang kita tahu,guru perlu sentiasa mengekalkan nilai intelektualnya kerana guru merupakan agen perubahan dalam menghasilkan produk berkualiti atau modal insan yang diperlukan di negara kita.Guru harus peka dengan perkembangan semasa kerana selain tanggungjawab menyalurkan ilmu kepada jurid,guru juga menjadi sumber rujukan dan teladan bagi masyarakat sekeliling.

Melalui globalisasi juga guru dapat meningkatkan kemahiran ICT dan interaksi global yang mana ia meluaskan konsep pembelajaran mengatasi bilik darjah.Contohnya,dengan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi,guru dapat melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran yang merentasi penyediaan pengalaman murid tanpa terbatas.Misalnya,murid berpeluang melihat keadaan gunung berapi,keadaan di kutub utara dan menyelam di dasar laut menerusi carian laman video pendidikan di internet.

Perkembangan yang berikutnya ialah meluaskan lagi program pensiswazahan guru bagi memperbaiki taraf kualiti dan taraf profesionalisme guru setanding dengan guru-guru di negara luar agar produk yang dihasilkan mampu membangunkan negara kita dengan lebih maju dan berjaya.Dengan globalisasi ia meletakkan profesion keguruan sebagai satu profesion yang penting.Ini kerana berjayanya sesebuah negara adalah dengan berjayanya negara itu menghasilkan modal insan berguna yang akan membangunkan negara setaraf dengan negara naju yang lain.

Tuesday, 2 September 2014

Kesantunan Masyarakat Melayu

Kesantunan bahasa dalam masyarakat Melayu yang menjadi penghuni teras di Kepulauan Melayu sejak dahulu lagi merupakan salah satu warisan yang penting dalam pembentukan keperibadian bangsa hingga kini.Antara aspek kebudayaan Melayu yang  menjadi asas kebudayaan kebangsaan negara ini ialah kesantunan bahasa yang menggambarkan kehalusan budi,pemikiran,falsafah,sistem nilai,sistem masyarakat dan   seluruh aspek kebudayaan itu sendiri.

Kesantunan juga merupakan pengukur diri seseorang untuk diterima atau sebaliknya dalam kehidupan sosial.Keindahan kehidupan masyarakat manusia yang sentiasa berusaha membina perlakuan yang memenuhi tuntutan sosial telah mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan kehidupan bersama dalam sesebuah masyarakat.Pemahaman terhadap variasi kesantunan dalam pelbagai bangsa turut mendorong ke arah pemupukan saling menghormati dan menghargai dalam kalangan manusia tanpa mempertikaikan perbezaan agama,bangsa dan budaya.

Terdapat banyak unsur yang menggambarkan wujudnya kesantunan bahasa dan ia telah dirakamkan dalam pelbagai karya persuratan seperti hikayat,syair,pantun,gurindam dan seloka.Demikian juga telah wujud adat istiadat dan pelbagai bentuk majlis dan upacara dalam kehidupan masyarakat Melayu sejak zaman-berzaman.Huraian dan dialog yang terdapat dalam pelbagai karya persuratan Melayu lama itu dengan jelas menggambarkan penggunaan bahasa yang santun dan beradab.